Batik adalah hasil seni dan kraf yang terkenal terutamanya di Malaysia dan Indonesia. Perkataan ‘batik’ itu sendiri berasal dari perkataan jawa yang menggabungkan dua perkataan iaitu ‘amba’ yang bermaksud menulis dan ‘titik’.
Di Malaysia, kepentingan batik menjadi ketara sejak beberapa tahun yang lepas setelah batik sutera dijadikan pakaian rasmi tertentu terutama kepada mereka yang berkhidmat dengan badan kerajaan.
Batik dihasilkan melalui 2 cara yang utama. Cara yang pertama ialah menerusi blok tangan, di mana corak tertentu dilekatkan pada blok dan corak batik dicetak ke atas kain. Penghasilan begini juga digelar ‘printed batik’ atau batik cetak. Sebagai contoh, banyak batik Indonesia adalah dihasilkan menerusi blok.
Penghasilan batik menerusi proses mencanting
Cara kedua ialah menerusi melukis corak batik di atas kain, atau dengan kata lain digelar ‘canting’. Batik Terengganu dari Malaysia terkenal dengan batik canting. Corak yang dihasilkan menerusi proses canting adalah unik untuk setiap kain dan prosesnya agak memakan masa. Oleh itu, batik yang dihasilkan menerusi proses mencanting adalah lebih mahal.
Dahulu batik dianggap sebagai seni pakaian tradisional tetapi setelah pelbagai usaha dilakukan kini batik juga telah melalui revolusi kontemporari di mana batik dijadikan sebagai elemen penting dalam rekabentuk dan rekahias pakaian fesyen terkini.
Batik juga sangat dikenali di peringkat antarabangsa dimana ia kini sering diketengahkan di dalam peragaan fesyen peringkat antabangsa. Bukan itu sahaja malahan ia telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat negara asing. Semua ini merupakan jasa arwah isteri mantan perdana menteri kita yang kelima iaitu mesra dikenali dengan nama Pak Lah yang semasa hayatnya sangat aktif mengkomersilkan batik di peringkat dunia.
Batik merupakan suatu seni dimana ia memerlukan kemahiran yang tinggi untuk menghasilkan batik yang bermutu tinggi. Ia juga mempunyai pelbagai warna yang menarik serta corak dihias indah di atas sutera yang mampu memikat hati orang yang melihatnya. Corak batik kebanyakannya adalah daripada flora yang dilukis dengan cantik dan teliti oleh pelukis batik.
No comments:
Post a Comment